KUALA LUMPUR 2 Dis. – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memanggil bekas Ahli Parlimen Cameron Highlands, Datuk C. Sivarraajh berhubung dakwaan merasuah pengundi Orang Asli untuk menyokong Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada 9 Mei lalu.
Menurut sumber, SPRM kini sedang menyiasat Naib Presiden MIC tersebut.
“SPRM akan memanggil individu yang terlibat, dipercayai beberapa lagi yang akan dirakam percakapan,” katanya di sini, hari ini.
Sementara itu, Timbalan Pesuruhjaya SPRM (Operasi) Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi Utusan Malaysia berkata, pihaknya telah membuka kertas siasatan berhubung dakwaan rasuah itu namun enggan mengulas lanjut.
“Siasatan berhubung perkara itu sedang berlangsung,” katanya.
Jumaat lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan kemenangan Sivarraajh bagi kerusi Parlimen Cameron Highlands dalam PRU-14 adalah terbatal dan tidak sah akibat rasuah.
Pada 4 Jun lalu, Timbalan Pengerusi DAP Pahang, M. Manogaran, 59, memfailkan petisyen dengan memohon pembatalan perisytiharan keputusan PRU-14 kerana melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dan mendakwa, Sivarraajh merasuah pengundi daripada komuniti Orang Asli untuk mengundinya.
Beliau mendakwa Sivarraajh ketika berkempen telah memberi rasuah antara RM30 dan RM1,000 kepada masyarakat Orang Asli melalui ketua kampung untuk memastikan mereka mengundi calon BN.
Pada PRU-14 Mei lalu, calon BN itu memperoleh 10,307 undi mengalahkan Manogaran yang mewakili Pakatan Harapan dengan 9,710 undi.










