MANCHESTER, England 22 Dis. – Pengurus sementara Manchester United, Ole Gunner Solskjaer memberi amaran kepada pemainnya agar bersedia berdepan semula layanan popular Alex Ferguson yang digelar ‘pengering rambut’ jika mereka tidak beraksi dengan bagus.
Ferguson terkenal dengan reputasi menggunakan vokal tinggi ketika memarahi pemain, dan angin yang kuat keluar daripada mulut bekas pengurus itu mampu menggerakkan rambut pemain, sekali gus digelar sebagai ‘pengering rambut’ sepanjang 27 tahun di Old Trafford.
Kata Solskjaer, ketika ini dia mahu mengekalkan imej bersih, namun jika pemain tidak menepati kehendaknya maka bekas bintang United itu tidak teragak-agak untuk menggunakan pendekatan Ferguson.
“Kami semua mempunyai pendekatan berbeza dalam mengurus pemain begitu juga Ferguson yang berlainan daripada individu lain.
“Mungkin saya terpaksa menggunakan pendekatan sama jika keadaan mendesak.
“Bila kanak-kanak membuatkan anda kecewa pasti anda akan menyuruh mereka agar berhenti melakukan perkara sama dan anda tidak akan memberikan mereka gula-gula.
“Tiada beza cara anda mendidik pemain dan kanak-kanak kerana anda pasti mahukan yang terbaik daripada mereka dalam masa sama mahu membimbing mereka ke arah lebih baik,” kata Solskjaer. – AGENSI










