Siti Kasim tersingkir pemilihan - Utusan Malaysia

Siti Kasim tersingkir pemilihan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 2 Dis. – Peguam Siti Kasim dan sekutunya gagal menguasai Majlis Peguam setelah tewas dalam pemilihan jawatankuasa baharu pertubuhan itu kepada calon-calon yang jelas berpendirian mempertahankan Perlembagaan Persekutuan,

Calon-calon yang menang itu juga adalah dalam kalangan mereka yang menentang Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) seperti Lukman Sheriff Alias dan Yusfarizal Yusoff.

Bagi calon yang berdegar-degar menyokong konvensyen antarabangsa itu seperti Siti Zabedah Kasim (Siti Kasim) pula, nampaknya beliau perlu akur dengan kegagalan di dalam pemilihan jawatankuasa tersebut.

Perkara itu dimaklumkan oleh Aktivis Concerned Lawyers For Justice, Aidil Khalid dalam akaun Facebook beliau hari ini.

“Calon-calon yang jelas pendirian mereka untuk mempertahankan Perlembagaan Persekutuan dan menolak ICERD seperti Lukman Sheriff, Yusfarizal dan rakan-rakan telah menang serta terpilih.

“Calon-calon yang menyokong ICERD seperti Siti Kasim dan kumpulannya telah disapu keluar,” kata beliau.

Aidil dalam masa sama menegaskan bahawa pemilihan itu menjadi bukti bahawa para peguam serata negeri di Semenanjung negara telah bersuara.

“Bak kata Lukman, kita telah ‘stand and be counted’ untuk menyapu dan menyingkir keluar anasir-anasir anti-Perlembagaan Persekutuan. Tahniah, syukur dan pujian-pujian kepada Tuhan,” jelas beliau.

Sementera itu, usaha Utusan Malaysia untuk mendapatkan ulasan Siti Kasim mengenai kekalahannya tidak berjaya apabila beliau tidak menjawab panggilan telefon dan membalas Whatsapp.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN