PELABUHAN KLANG 17 Dis. – Cubaan satu sindiket dipercayai ingin menyeludup rokok putih dan minuman keras menggunakan kapal ‘barter trade’ di perairan Kuala Selangor berjaya dipatahkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor, Jumaat lalu.
Dalam serbuan kira-kira pukul 5 petang itu antara barangan yang dirampas selain rokok putih dan minuman keras bernilai RM13.4 juta adalah bot, enjin serta peralatan navigasi dan komunikasi radio.
Sebanyak 10 individu warga Indonesia termasuk tekong kapal berusia 22 hingga 53 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Datuk Mohd. Zubil Mat Som berkata, pihaknya mengesan kapal barter trade sepanjang 34 meter tersebut semasa melakukan rondaan hasil maklumat awam.
Menurutnya, ketika itu terdapat bot pancung sedang merapati kapal berkenaan dipercayai untuk memunggah kotak yang dibawa.
“Menyedari kehadiran bot peronda maritim, bot pancung berkenaan serta-merta meninggalkan kapal barter trade tersebut. Hasil pemeriksaan mendapati kapal barter trade itu membawa 2,600 kotak atau 130,000 karton rokok putih pelbagai jenama dan 60 kotak minuman keras.
“Kita percaya sindiket ini telah menjalankan kegiatan penyeludupan dalam tempoh yang agak lama. Malah, kita juga akan menjalankan siasatan berhubung penemuan pelekat bebas cukai yang terdapat pada rokok putih dan minuman keras yang dirampas,” katanya dalam sidang akhbar di pejabat Maritim Malaysia Selangor di sini hari ini.
Tambahnya, kesemua yang ditahan dibawa ke jeti Pulau Indah untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 135(1) Akta Kastam 1967 kerana membawa masuk barang tanpa kelulusan kastam.
“Kita akan terus memperketatkan rondaan di sepanjang sempadan supaya aktiviti penyeludupan ini dapat ditumpaskan dan tidak berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti menyalahi undang-undang,” ujarnya.










