Sihir politik memang wujud - Utusan Malaysia

Sihir politik memang wujud

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU 4 Dis. – Tidak mahu bertemu dengan rakyat, takut berada di depan khalayak dan jatuh sakit, itu antara pengalaman yang dikongsikan oleh Pengasas Pusat Rawatan Islam At-Tobibia, Datuk Shamsuri Shafie ketika mengendalikan kes sihir membabitkan ahli politik dan pemimpin di negera ini.

SHAMSURI SHAFIE
SHAMSURI SHAFIE 

Shamsuri berkata, kes sihir dalam kalangan ahli politik dan pemimpin semewangnya wujud, namun ia jarang dihebahkan kepada masyarakat.

Menurutnya, apa yang didedahkan oleh Isteri Menteri Besar Kelantan, Datin Siti Zabidah Ab. Hamid merupakan salah satu bentuk perkongsian yang boleh dijadikan sebagai iktibar oleh masyarakat.

“Bukan sahaja politik, sihir juga boleh berlaku dalam rumah tangga, pekerjaan, keluarga dan sebagainya dalam kehidupan seharian kita.

“Hal ini, berlaku apabila manusia jauh dari Allah dan dekat dengan iblis,” katanya di sini hari ini.

 Beliau berkata demikian ketika mengulas pendedahan Siti Zabidah mengenai peristiwa anak-anak termasuk menantu jatuh sakit terkena ilmu sihir selepas suaminya Datuk Ahmad Yakob dilantik memegang sebagai Menteri Besar.

Utusan Online semalam melaporkan, dugaan yang dihadapi oleh Siti Zubaidah dan keluarganya itu berlaku antara penghujung 2014 hingga awal 2015.

Bagaimanapun masalah itu dapat dihadapi dengan tabah hasil bantuan ramai perawat Islam termasuklah Allahyarham Datuk Dr. Haron Din.

Shamsuri memberitahu, untuk berhadapan dengan sihir seseorang individu itu perlu memperkukuhkan benteng pertahanan diri bagi mematahkan ancaman itu.

Katanya, benteng pertahanan diri itu boleh dilakukan dengan mendekatkan diri kepada Allah menerusi amalan harian.

“Antara amalan yang boleh dilakukan untuk mematahkan sihir ialah dengan membaca surah Al-Fatihah; Al-Baqarah (ayat 1-5, 20-24 dan 102-103); Ibrahim (24-25) dan Al-Jin (1-9).

“Selain itu, surah Yunus (81-83); Ar-Rahman (33-36) dan tiga Qul (Al-Ikhlas, Al-Falaq dan An-Nas),” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN