KUALA LUMPUR 11 Dis. – Kegagalan skuad negara mencapai kesemua sasaran ditetapkan dalam semua kejohanan yang disertai tahun ini memerlukan satu bedah siasat khas oleh Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), seperti dilakukan sejurus kegagalan dalam Piala Dunia 2014.
Terbaharu, Malaysian Tigers tidak mencapai sasaran 10 terbaik dalam Piala Dunia 2018 di Bhubaneswar, India apabila menamatkan aksi di tempat ke-15 keseluruhan.
Sebelum itu, mereka juga gagal memenuhi sasaran dalam Sukan Asia, Sukan Komanwel dan Piala Sultan Azlan Shah.
“Semua harus menerima hakikat bahawa hoki kita telah gagal tahun ini dan sesuatu harus dilakukan iaitu post-mortem (bedah siasat).
“Tahun depan kita akan menghadapi kelayakan Sukan Olimpik dan mereka perlu segera mencari kelebihan, tambahan pula sepanjang tahun ini pasukan gagal mencapai semua sasaran ditetapkan.
“Pada 2014, MHC telah melakukan satu post-mortem selepas pasukan menamatkan aksi di tempat ke-12 keseluruhan.
“Jadi mengapa tidak mereka melakukan perkara sama seperti empat tahun lalu,” kata legenda hoki negara, Maninderjit Singh yang turut bersedih dengan perkembangan hoki negara sepanjang tahun ini.
Dalam Sukan Asia 2018 di Indonesia, MHC menetapkan sasaran pingat emas untuk dibawa pulang.
Begitupun skuad hoki negara sekadar membawa pulang pingat perak manakala dalam Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh mereka meraih tempat kelima berbanding sasaran kedudukan keempat.
Dalam Sukan Komanwel di Gold Coast, Australia pula, pasukan negara menyasarkan tempat keempat tetapi menutup aksi di tangga kelima.
Tahun depan Malaysian Tigers akan berdepan lebih banyak cabaran dan misi besar iaitu berusaha layak ke Sukan Olimpik 2020 menerusi kejohanan kelayakan ditetapkan oleh Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH).









