Siasat kartel telur, lindungi hak pengguna - Utusan Malaysia

Siasat kartel telur, lindungi hak pengguna

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DI Malaysia, seminggu dua ini ramai bercakap pasal telur. Bukan pasal berani tak berani sampai nak kena melompat kapal tetapi harga telur ayam yang kini melompat sampai paras tertinggi dalam sejarah.

Sepuluh biji telur ayam gred B kini mencecah RM4.60 hingga RM4.80 dengan harga ladang pada 4 Disember lalu berada pada sekitar 41 sen sebiji. Ramai pening kepala kerana naik­nya kira-kira 30 peratus berbanding pertengahan tahun ini atau 45 peratus berbanding Mac 2017.

Walaupun dalam era Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), ketika itu harga telur ayam gred B di peringkat ladang hanyalah 28 sen hingga 30 sen sebiji. Tak percaya, boleh rujuk di laman web Jabatan Perkhidmatan Haiwan.

Kenapa jadi begini? Se­perti biasa, jawapan diberikan menyalahkan kekurangan bekalan. Mujur bukan ayam di­persalahkan, sebaliknya kembali kepada asas ekonomi iaitu pengeluaran dan permintaan.

Apabila dipersoalkan ke­napa bekalan boleh kurang, maka timbullah cerita se­lesema burung dengan ada ladang tidak dibenarkan memasarkan telur yang dikeluarkan.

Selepas itu, seperti biasa makanan ayam pula jadi ‘kam­bing hitam’ dengan nilai pertukaran wang a­sing dibangkitkan. Eh skrip ini bukan baharu, dari dulu sama sahaja.

Peliknya, harga ayam da­ging tidak pula mengalami perubahan ketara seolah-olah dedak ayam daging tidak dijual dalam dolar Amerika Syarikat (AS) seperti ayam te­lur. Satu lagi, takkanlah harga makanan ayam sampai me­lonjakkan satu pertiga harga.

Semua ini dua kali lima dengan tauke kedai makan yang menaikkan harga secawan kopi 20 sen gara-gara harga gula naik 20 sen sekilo. Sedangkan sekilo gula boleh guna untuk bancuh 10 cawan kopi. Untungnya mereka.

Dan dalam kisah telur, apabila keresahan rakyat terhadap sumber protein itu semakin memuncak, Alhamdulillah semalam di hadapan menteri, ada jaminan daripada penternak untuk menurunkan harga telur sebanyak dua sen sebiji.

Tak tahulah, persetujuan menurunkan harga ini ada kaitan dengan cerita kartel telur yang berlegar bagaimana industri boleh memani­pulasi harga untuk kepenti­ngan mereka.

Pengguna sudah muak gesaan jadi pengguna bijak, ayam mahal jangan makan ayam. Ini bukan beli kereta, ini makanan harian tak kisahlah sama ada telur, ayam atau ikan. Tolong lindungi hak kami.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN