Setiap rumah ibadat wajib didaftarkan - Utusan Malaysia

Setiap rumah ibadat wajib didaftarkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS 2 Dis. – Langkah paling berkesan bagi memastikan isu kuil yang mencetuskan rusuhan sebagaimana berlaku di Subang Jaya, Selangor tempoh hari tidak terus berulang adalah dengan mewajibkan pembinaan setiap rumah ibadat bagi penganut Hindu itu didaftarkan.

Pengarah Institut Kajian Etnik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Shamsul Amri Baharudin berpendapat, bukan sahaja kuil, semua tempat ibadat bagi agama lain juga perlu didaftarkan dan langkah itu penting bagi membolehkan status tanah diduduki secara sah bagi mengelak timbul konflik.

Beliau turut mengakui walaupun dianggap remeh bagi sesetengah pihak namun ia perlu dikaji dengan teliti memandangkan kedudukan kuil di serata negara ini yang bertaburan telah menyebabkan statusnya sukar dikenal pasti.

“Semua rumah ibadat tidak kira sama ada masjid, surau, gereja, kuil dan sebagainya perlu didaftarkan supaya semua tahu statusnya sama ada halal atau haram dan dari situ kita boleh ambil tindakan menghindari masalah itu.

“Ini bukan kali pertama kejadian libatkan kuil, sudah empat atau lima kali berlaku di negara kita dan kita mesti faham kedudukan kuil serta pembinaannya. Kita tak pernah dihurai apa sebab pe­nganut Hindu pilih tempat-tempat ter­tentu untuk bina kuil. Dulu kecil kemudian jadi besar, kita tak pernah tahu melainkan bila dah jadi masalah,” katanya.

Beliau menyatakan perkara itu dalam sidang media selepas majlis perasmian Persidangan Pemantapan Citra Kenegaraan kali ke-6 (COSNA6) di kampus Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di sini hari ini.

Yang turut hadir, Naib Canselor UniSZA, Prof. Datuk Dr. Ahmad Zubaidi A. Latiff

Ditanya isu Konvensyen Anta­rabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), Dr. Shamsul Amri menjelaskan, orang ramai perlu memahami dan mengha­yati dengan mendalam mengenai konvensyen itu.

“Kita kena faham betul-betul apa itu ICERD, masalah kita sekarang kita hanya dengar atau dapat maklumat mengenainya daripada orang lain. Sepatutnya kita kena kaji sendiri dan faham be­tul-betul apa itu ICERD,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×