JOHOR BAHRU 31 Dis. – Seramai 1,008 anggota polis di seluruh negeri akan bertugas bagi memastikan sesi persekolahan 2019 yang mula dibuka esok berjalan lancar dan selamat.
Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Khalil Kader Mohd. berkata, anggota kereta peronda (MPV), Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dan trafik akan memantau di kawasan luar sekolah.
Beliau berkata, seramai 1,311 pegawai perhubungan sekolah (PPS) pula akan berada dalam kawasan sekolah sebagai persediaan selain membantu mengawal keadaan sekiranya perlu.
“Seramai 1,008 anggota polis dan 1,311 PPS ini akan bertugas di 1,311 buah sekolah seluruh negeri,” katanya dalam satu kenyataan di sini sebentar tadi.
Menurut beliau, Ibu pejabat Kontinjen Polis (IPK) Johor berhasrat agar semua aktiviti kemasukan sekolah bagi 2019 berjalan dengan baik tanpa sebarang insiden tidak diingini.
“Semua pemandu yang menghantar anak-anak ke sekolah perlu mematuhi peraturan lalu lintas dan tidak mendirikan sebarang halangan yang boleh menyebabkan berlakunya kesesakan.
“Keutamaan ini hendaklah diberikan kepada pelajar-pelajar yang berjalan kaki. Persekitaran sekolah yang selamat dan bebas insiden adalah prioriti IPK Johor,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE










