Sesak luar biasa di Bukit Jalil - Utusan Malaysia

Sesak luar biasa di Bukit Jalil

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 11Dis. – Kompleks Sukan Negara dibanjiri lautan manusia seawal pukul 2 petang hari ini, biarpun perlawanan akhir pertama bola sepak Piala AFF hanya bermula pada 8.45 malam.

Dianggarkan lebih 100,000 membanjiri Bukit Jalil kerana sebahagian besar penyokong yang kecewa gagal mendapat tiket perlawanan Malaysia menentang Vietnam bertindak menyerbu Axiata Arena yang terletak bersebelahan untuk menonton aksi tersebut secara langsung di skrin gergasi.

Jika Stadium Nasional menerima kunjungan lebih 85,000 penonton, Axiata Arena pula menghadkan kehadiran 15,000 penyokong, sekali gus menjadikan keadaan cukup sesak, malah hujat lebat pada sebelah petang langsung tidak mematahkan semangat mereka.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, masih ada penyokong cuba mendapatkan tiket pada saat akhir dengan ‘memburu’ ulat tiket tetapi sebahagian besar yang lain beransur-ansur memasuki Stadium Nasional dan Axiata Arena.

Seorang penyokong dari Kedah, Mohd. Amran Khalid kecewa yang kecewa kerana gagal membeli tiket, Ahad lalu selepas datang dari jauh memilih untuk menonton perlawanan di Axiata kerana masih merasai bahang Piala AFF.

“Sedih kerana datang dari jauh tetapi gagal dapat tiket di atas sistem penjualan yang tidak teratur.

“Alang-alang sudah sampai saya datang tengok di Axiata Arena dan ini satu langkah yang baik dilakukan oleh Kementerian Belia dan Sukan,” katanya.

Sementara itu, Salina Mohd. Yatim yang datang bersama keluarga berkata, ‘kerja keras’ penyokong yang sanggup meredah hujan dan kesesakan tidak sehebat perjuangan yang ditunjukkan pemain Harimau Malaya.

“Hujan lebat tidak mematahkan semangat kami untuk beri sokongan selepas terpaksa berdepan kesukaran mendapatkan tiket. Tidak kira apa keputusan, kami tetap di belakang Harimau Malaya,” katanya.

Semalam, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengumumkan untuk mengadakan siaran langsung di Axiata Arena bagi mengubat kekecewaan ribuan penyokong Harimau Malaya yang gagal mendapatkan tiket selepas berjam-jam beratur.

Sejak malam Sabtu lalu, lebih 6,000 peminat sudah membanjiri Bukit Jalil biarpun kaunter tiket hanya dibuka pada pukul 10 pagi Ahad.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN