Sering ditindas ejen, majikan - Utusan Malaysia

Sering ditindas ejen, majikan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 2 Dis. – Hanya kerana berstatus gelandangan, golongan tersebut sering menjadi mangsa segelintir ejen dan majikan yang mengambil kesempatan dengan menawarkan pekerjaan namun membayar gaji tidak setimpal.

Lebih menyedihkan, maji­kan berkenaan bertindak memotong gaji golongan berkenaan sesuka hati selain menjadikan mereka seperti ‘orang suruhan’ untuk melakukan dua hingga tiga jenis pekerjaan dalam satu masa.

Senario itu dimaklumkan seorang gelandangan dari Kedah yang pernah menjadi mangsa majikan tamak ketika mula ditugaskan sebagai pengawal keselamatan setahun lalu.

Menurut lelaki berusia awal 40-an itu, semuanya bermula selepas perniagaan restoran diusahakannya lingkup sebelum bersetuju menerima tawaran pekerjaan berkenaan demi mem­bina semula kehidupannya daripada terus melarat sebagai gelandangan.

Namun jelasnya, sangkaan hidupnya akan bertambah baik meleset apabila majikannya itu sering mempergunakan dirinya disebabkan status gelandangan.

“Majikan mula tunjuk ‘ta­ring’ dengan membayar gaji dengan kadar tidak se­timpal dan membuat potongan sesuka hati berbanding persetujuan ketika menawarkan pekerjaan.

“Ada kalanya saya bekerja melebihi 12 jam dan melakukan beberapa pekerjaan dalam sehari namun penat lelah itu hanyalah sia-sia. Disebabkan kecelaruan itu, saya nekad berhenti kerja dan meneruskan kehidupan bergelandang­an,” kata­nya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Sementara itu, seorang lagi pemuda yang hanya ingin dikenali sebagai Wan turut me­ngakui bahawa kebanyakan gelandangan pernah ditipu oleh majikan yang menawarkan pekerjaan kepada mereka.

“Jika ejen pekerjaan atau majikan itu bermasalah terutamanya melibatkan pembayaran gaji, golongan gelandangan itu hanya akan bertahan selama dua hingga tiga bulan sahaja sebelum membuat keputusan kembali kepada kehidupan sebagai gelandangan.

“Berbeza pula dengan mereka yang bertemu dengan majikan yang benar-benar ingin membantu. Golongan berkenaan akan setia dan amanah dalam menjalankan tugas mereka,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN