Serangan bom, berbalas tembakan di Narathiwat - Utusan Malaysia

Serangan bom, berbalas tembakan di Narathiwat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NARATHIWAT 29 Dis. – Empat daerah di wilayah Narathiwat, selatan Thailand digegarkan dengan lapan letupan bom dan insiden tembak-menembak antara individu bersenjata dengan anggota pasukan keselamatan.

Insiden keganasan itu berlaku sejak petang semalam dan berlanjutan sepanjang malam.

“Kami telah mengarahkan agar semua anggota polis di wilayah Narathiwat diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga khususnya mereka yang bertugas di pos-pos keselamatan,” kata Ke­tua Polis Narathiwat, Mejar Je­neral Dusadee Choosankij di sini.

Siri keganasan bermula pada pukul 6.30 petang semalam waktu tempatan apabila sekumpulan individu bersenjata menye­rang hendap pos keselamatan di mukim Kalisa di daerah Rangae, dekat sini.

Insiden tembak-menembak menggunakan senjata ringan serta pelancar bom M79 berlarutan selama 10 minit, tanpa meng­akibatkan sebarang kecederaan atau kematian di kedua-dua pihak.

Menurut sumber polis tempatan, motif serangan hendap itu adalah untuk merampas senjata api digunakan oleh anggota keselamatan yang bertugas tetapi gagal.

Penyerang yang tidak dikenali itu turut menebar paku dan menebang pokok di laluan menuju ke pos keselamatan terbabit bagi menghalang penghantaran bantuan oleh anggota keselamatan yang berhampiran.

Sementara itu di daerah Chana, empat butir bom yang me­nyasarkan tiang-tiang elektrik diletupkan.

Letupan bom turut dilaporkan berlaku di daerah Sisakorn dan Takbai tetapi tidak menyebabkan sebarang kecede­raan, namun empat pengguna jalan raya cedera ringan dalam satu lagi kejadian serangan bom di Kampung Sako malam semalam.

Pihak keselamatan Thailand turut menemukan 18 butir bom buatan sendiri di tiga daerah di sini yang kemudiannya dimatikan oleh anggota skuad pemusnah bom. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×