JOHOR BAHRU – Seorang lelaki maut manakala tiga rakannya cedera apabila kereta jenis Proton Iswara yang dinaiki mereka terbabas dan melanggar sebatang tiang lampu jalan di Kilometer empat Jalan Skudai- Pantai Lido di sini awal pagi hari ini.
Kejadian kira-kira pukul 3.20 pagi itu mengakibatkan penumpang hadapan kereta terbabit iaitu seorang lelaki berusia 20-an yang identitinya belum dikenal pasti maut manakala pemandu serta dua penumpang belakang berumur lingkungan 16 hingga 17 tahun cedera.
Timbalan Ketua Polis Johor Bahru Selatan, Superintendan Afzanizam Yahaya berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila kereta yang dinaiki mereka hilang kawalan akibat keadaan jalan licin disebabkan hujan.
“Kereta mereka hilang kawalan sebelum merempuh sebatang tiang lampu di bahu jalan. Kita juga tidak menemui sebarang pengenalan pada mangsa yang meninggal dunia.
“Mangsa yang meninggal dunia kemudiannya di hantar ke Hospital Sultanah Aminah untuk dibedah siasat dan mangsa yang cedera turut dihantar ke hospital sama untuk menerima rawatan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Afzanizam berkata, polis menolak kemungkinan kemalangan berpunca daripada pengambilan alkohol oleh kesemua mangsa.
“Setakat ini kita menolak kemungkinan kemalangan berlaku kerana pemandu serta rakan-rakannya mabuk. Bagaimanapun siasatan terperinci dan bedah siasat masih lagi dijalankan,”katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – K! ONLINE










