Seminar teknik penulisan dakwah - Utusan Malaysia

Seminar teknik penulisan dakwah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SESUATU penulisan akan memberi manfaat kepada masyarakat sekiranya maklumat yang dikongsi adalah berkaitan perkara yang baik dan berfaedah.

Bagaimanapun, teknik menulis hendaklah betul agar menarik dan menjadi pilihan pembaca.

Justeru, syarikat penerbitan Bonda Nor Resourses dengan kerjasama Galeri Ilmu Sdn. Bhd. telah menganjurkan Seminar Penulisan Mega Bonda Nor (SPMBN) bertempat di sebuah hotel di Bandar Baru Bangi, Selangor baru-baru ini.

Program tersebut dihadiri seramai 250 orang peserta dari pelbagai latar belakang masyarakat termasuk guru, doktor, usahawan dan suri rumah.

Salah seorang peserta, Nik Irma Rita Nik Shukri, 30, berkata, dia berminat untuk menyertai seminar berkenaan kerana berhasrat untuk menulis buku mengenai kisah perjalanan arwah anaknya ketika menjalani rawatan kanser dan pemindahan sum-sum tulang.

“Saya ingin mendapatkan ilmu penulisan dan mencari saluran serta panduan yang betul untuk menerbitkan karya saya sendiri.

“Oleh yang demikian, saya berharap segala ilmu yang saya peroleh di seminar ini dapat dijadikan panduan untuk saya mula menulis sekali gus diterima pembaca,” ujar wanita yang berasal dari Machang, Kelantan dan kini menetap di Bandar Kinrara, Puchong, Selangor.

Teknik penulisan

Sementara itu, Bonda Nor atau nama sebenarnya, Norli Madlan berkata, SPMBN dianjurkan selepas mendapat permintaan tinggi ketika siri Bengkel Penulisan Bonda Nor yang diadakan sebelum ini.

“Semua orang boleh menulis namun tidak semua penulisan itu dapat memberikan manfaat yang baik.

“Seorang penulis mestilah menulis perkara yang baik untuk dikongsi agar ia menjadi bekalan ketika kita sudah meninggal dunia kelak,” katanya.

Mengulas lanjut, Bonda Nor berkata, seseorang yang bersyahadah adalah pendakwah dan tidak perlu tunggu menjadi baik baharu mahu berdakwah.

“Mulakan dengan apa yang ada di tangan kita hari ini.

“Tulis sahaja perkara yang baik untuk dikongsi, insya-Allah ia akan menjadi bekal apabila kita sudah tiada lagi nanti,” tambahnya.

Sepanjang seminar berlangsung, para peserta didedahkan dengan teknik menjadi penulis yang dikasihi khalayak, cara membina hubungan yang baik dengan penerbit dan ciri penulis yang dikasihi Allah.

Selain itu, turut diadakan Forum Membidik Jejak ke Puncak bersama motivator yang juga penulis buku Percaya Sebelum Berjaya, Zuhairi Nopiah dan penulis novel, Sri Diah Shaharuddin.

Pada seminar tersebut juga, kesemua 250 peserta menerima tawaran untuk satu projek mega antologi cerpen terbesar dan terpantas di Malaysia bertemakan Bercakap Dengan Cermin.

Buku yang bakal dihasilkan tersebut kemudiannya akan dilancarkan semasa Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur pada bulan Mac tahun hadapan.

Peribahasa Melayu

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN