HULU TERENGGANU 24 Dis. – Empat pekerja Tenaga Nasional Bhd. (TNB) yang terkandas 15 jam di kawasan hutan simpan Mizan berhampiran Felda Mengkawang dekat sini akhirnya ditemukan selamat pagi ini.
Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Mohd. Adli Mat Daud berkata, mangsa pertama, Nor Muslim Mohd. Dom, 51, ditemukan pada pukul 9.40 pagi setelah berjaya keluar dari lokasi hutan ke Kampung Lubuk Periuk.
Katanya, tiga lagi mangsa berjaya ditemukan oleh pasukan mencari dan menyelamat pada pukul 10.25 pagi kira-kira enam kilometer dari lokasi kenderaan pacuan empat roda mereka ditinggalkan di hutan berkenaan semalam.
Katanya, meraka ialah Mohd. Amirul Ismail, 30; Muhammad Syazwan Wahab, 30, dan Ahmad Khairi Azman Mohamed, 29, dengan kesemuanya daripada unit pencawang kabel TNB Wilayah Timur di Dungun yang melakukan kerja-kerja pemantauan talian kabel. – UTUSAN ONLINE










