Seksi? Tyas kini sedar diri - Utusan Malaysia

Seksi? Tyas kini sedar diri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NAMA aktres Tyas Mirasih mula meniti di bibir peminat sejak membintangi filem Air Terjun Pengantin pada tahun 2009. Penampilannya yang agak seksi dalam filem tersebut juga menjadi tumpuan ketika itu.

Malah selepas itu imej seksi seakan sudah melekat pada diri pelakon ini. Bukan itu sahaja, dia juga kerap memainkan peranan berbaur erotik dalam filem-filem lakonannya.

Namun setelah mendirikan rumah tangga dengan ahli muzik, Raiden Soedjono tahun lalu, penampilannya semakin sopan dan jarang lagi membawakan adegan panas seperti selalu.

Dek kerana itu, ada pihak yang mendakwa suaminya yang bertindak melarang Tyas untuk berpakaian seksi sebelum ini. Menafikan khabar angin tersebut, artis berusia 31 tahun ini mengakui suaminya tidak pernah campur tangan.

“Ia bukan larangan dari suami tetapi sekarang saya lebih sedar diri. Maksudnya lebih menjaga dari semua segi. Walaupun suami seorang yang santai tapi saya sendiri yang berasa tidak selesa.

“Dia sama sekali tidak pernah memberi amaran dan sebagainya. Dari segi pemilihan skrip pula, saya yang akan baca dan fikirkan sesuai ataupun tidak. Kalau suka dengan tawaran, saya akan bincang dengan suami.

“Bila dah kahwin ni, kena tanya dulu dengan suami, sama ada dia okey atau pun tak jika penggambaran sampai ke pagi. Pendek kata kena pandai jaga diri,” ujarnya yang bakal membintangi filem seram bersama Ayu Ting Ting.

Dalam masa yang sama, Tyas mengakui agak sukar baginya untuk melepaskan diri dari imej seksi. Ini kerana kebanyakan pihak lebih senang melihatnya sebegitu.

“Terpaksa tahan diri untuk menerima tawaran lakonan dengan imej tersebut. Saya tidak mahu berlakon sembarangan kerana ia akan mencerminkan diri sendiri. Namun mujurlah sedikit demi sedikit, nama semakin bersih,” tuturnya.

Mahu cepat hamil

GENAP setahun mendirikan rumah tangga, ramai yang tidak sabar-sabar untuk menanti pasangan ini menimang cahaya mata. Malah Tyas mengakui sering kali ditanya tentang hal tersebut.

Sudah agak jarang kelihatan di televisyen dan majlis hiburan, ternyata wanita kelahiran Jakarta ini sedang berusaha untuk mempercepatkan kehamilan.

“Kebelakangan ini saya memang membataskan aktiviti di dunia hiburan kerana mahu segera dikurniakan anak. Suami pula tidak pernah melarang bekerja tapi saya yang memilih untuk berehat

“Disebabkan itu, saya banyak menolak untuk muncul di beberapa sinetron supaya cepat mengandung. Tapi sehingga saat ini masih belum ada tanda-tanda lagi,” ujarnya sedih.

Tambahnya lagi, dia dan suami masih tidak putus-putus berusaha dan berdoa dikurniakan anak secepat mungkin. Mereka juga sering menjalani rutin pemeriksaan berkala untuk memastikan kedua-duanya tidak mengalami masalah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN