PUTRAJAYA 29 Dis. – Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menggesa kerajaan memulakan kempen boikot Kesatuan Eropah (EU) susulan sekatan eksport minyak sawit Malaysia ke Eropah.
Ketua Armada, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, sekatan yang dilaksanakan EU telah memberi kesan besar kepada peneroka Felda yang mencari mata pencarian dengan minyak sawit.
“Saya janji dah sampai masanya kita perlu bawa hak dan suara Felda. Ini semua anak Melayu kita. Tak ada Felda, Melayu susah.
“Armada akan terus bawa semangat dan hasrat peneroka ke pimpinan tertinggi parti dan kerajaan. Justeru itu, saya gesa kerajaan mula gerakan yang serius dan berani,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar dalam Perhimpunan Agung Tahunan Armada Yang Pertama di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.
Kata Syed Saddiq, walaupun Malaysia negara kecil berbanding kuasa besar tetapi Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pernah menggerakkan kempen ‘Buy British Last’ pada 1981 kerana isu pegangan getah dalam syarikat Guthrie.
Menurut beliau, sudah tiba masanya Melayu bangkit daripada ditindas dan melawan negara besar daripada terus dipijak.
“Kepada rakan-rakan dalam EU, anda telah menyusahkan rakyat paling miskin di Malaysia, saya tidak akan sesekali membenar ia berlaku.
“Kami (Armada) akan mempertahankan hak Felda kerana ini masa depan petani kecil dan generasi masa depan Felda,” katanya. – UTUSAN ONLINE










