IPOH 3 Dis. – Perak melahirkan kebimbangan apabila mendapati sebahagian besar daripada tanah kepunyaan syarikat milik kerajaan (GLC) dan milik kerajaan negeri diduduki secara haram oleh begitu ramai petani.
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, golongan petani itu boleh dikategorikan kepada dua iaitu petani korporat yang menduduki secara haram dan petani kontan atau pekebun kecil yang turut mengusahakan secara tidak sah.
Beliau berkata, pihaknya kini sedang mengenal pasti kawasan-kawasan berkenaan dengan bantuan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)-ADUN yang turut bekerjasama dengan pihak kerajaan dalam memantau perkembangan tersebut.
“Pendirian kerajaan ialah bagi mereka yang bergantung hidup kepada pertanian kontan atau pekebun-pekebun kecil, kita mesti mencari jalan bagaimana untuk mereka dapat meneruskan kehidupan dan menyediakan kawasan kepada mereka.
“Namun, pada masa sama, kerajaan mesti bertindak tegas terhadap petani-petani korporat yang menduduki tanah secara haram tanpa memberikan apa-apa pulangan hasil kepada kerajaan negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Dr Ko Chung Sen (DAP-Kepayang) yang bertanyakan sama ada kerajaan akan meluluskan tanah berstatus Lesen Pendudukan Sementara (TOL) kepada pekebun-pekebun kecil bagi membolehkan mereka mencari rezeki dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-14 di sini hari ini.
Sehubungan itu, Ahmad Faizal berkata, dalam hal tersebut, semua pihak hendaklah bekerjasama untuk membantu golongan yang memerlukan serta mengambil tindakan tegas kepada mereka yang mengaut keuntungan besar hasil daripada menduduki tanah secara haram.
Tambah beliau, kerajaan negeri akan memberikan perhatian serius kepada petani kontan dan akan sentiasa mengenal pasti tanah-tanah yang akan dibuka untuk mereka.
“Namun, pihak-pihak ini harus sedar bahawa ada kemungkinan jika mereka diberi pilihan tanah untuk diusahakan, mungkin ia akan diberi di kawasan berbeza dan mereka mungkin perlu berhijrah dan sebagainya,” katanya. – UTUSAN ONLINE










