LONDON 22 Dis. – Unai Emery menegaskan, dia tidak peduli berapa gaji yang diraih Mesut Ozil, sebaliknya hanya menilai seseorang pemain berdasarkan kualiti mereka.
Ozil, 30, antara penerima gaji termahal di Arsenal dengan menikmati 350,000 pound (RM1.85 juta) seminggu.
Begitupun, bintang tengah Jerman itu lebih banyak memanaskan bangku simpanan sejak akhir-akhir ini, dan hanya diberi kepercayaan ketika Gunners menentang Burnley dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris hari ini.
“Saya tidak melihat kepada gaji pemain (ketika memilih skuad), pada saya ia tidak penting. Lagi pun, saya tidak pernah ambil tahu berapa gaji mereka.
“Saya hanya memberi layanan adil kepada setiap pemain dalam menentukan sama ada mereka beraksi atau tidak.
“Apabila saya buat keputusan untuk menurunkan mereka, ia disebabkan percaturan taktikal.
“Apa yang penting adalah pemain perlu tunjuk komitmen penuh ketika latihan setiap hari,” kata Emery.
Emery turut memberitahu, Ozil masih mempunyai masa depan bersama kelab itu biarpun tidak diturunkan ketika menentang Tottenham.
Bagaimanapun, ketika ditanya sama ada dia terbuka untuk menjual Ozil atau meminjamkannya kepada kelab lain apabila pasaran perpindahan dibuka bulan depan, Emery berkata: “Saya tidak memikirkan situasi itu.”
Selain kembali memberi kepercayaan kepada Ozil dalam pertemuan menentang Burnley, pemain Jerman itu turut diberi penghormatan memakai lilitan kapten.
Mungkin, ia antara usaha Emery untuk ‘berdamai’ dengan Ozil selepas keadaan menjadi tegang akhir-akhir ini.
Media sering mengaitkan Ozil dengan perpindahan ke beberapa pasukan lain, termasuk kelab jiran, Chelsea. – AGENSI










