KUALA LUMPUR 10 Dis. – Kerajaan Pakatan Harapan sekali lagi ‘dijentik’ bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Kali ini tentang pendedahan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof bahawa Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) tersalah beri hibah sejak tahun 2014.
Menurut Najib, ia hanyalah satu helah kerajaan untuk menyembunyikan kegagalan mereka menstabilkan Bursa Malaysia lalu menyebabkan lembaga itu rugi dari segi pelaburan.
Kata Najib, hibah Tabung Haji pada tahun ini akan jauh lebih rendah dan kerajaan mengambil langkah selamat dengan menyalahkan kerajaan Barisan Nasional (BN).
“Tiada dakwaan bahawa wang Tabung Haji sudah dirompak ataupun diselewengkan tetapi Tabung Haji di bawah kerajaan BN telah melakukan tindakan yang kejam iaitu untuk terlebih bayar dividen kepada pencarum untuk empat tahun berturut-turut sejak 2014. Saya amat hairan mengapa audit luar dan audit kerajaan tidak pernah menimbulkan isu ini untuk empat tahun berturut-turut.
“Seperti yang saya beritahu minggu lepas, masalah utama Tabung Haji ialah penurunan teruk nilai pelaburan-pelaburan mereka untuk tahun ini akibat kejatuhan Bursa Malaysia selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14),” katanya dalam kenyataan di laman Facebook miliknya, hari ini. – UTUSAN ONLINE










