Johor sememangnya terkenal dengan pelbagai hidangan. Menu seperti nasi beriani gam, nasi ambang, laksa Johor, mi bandung dan otak-otak adalah hidangan tradisional negeri berkenaan.
Sekiranya anda tercari-cari sajian enak tradisional Johor, D’Timer Cafe ada menyediakan segalanya. Dengan harga berpatutan dan suasana kafe yang ringkas dan selesa, pasti membuatkan pengunjung berpuas hati sepanjang menikmati hidangan menyelerakan di sini.
Hiasan mural yang terdapat pada dinding kafe mengingatkan suasana gerai menjual karipap bawang berdekatan panggung wayang Odeon, Batu Pahat, Johor sekitar 1970-an.
“Mural ini mengingatkan kami tentang perniagaan keluarga yang dimulakan oleh nenek saya dengan menjual karipap bawang. Di sinilah bermulanya perniagaan makanan kami dan kini direalisasikan di D’Timer,” jelas pemiliknya, Azila Abu Kassim.
Menariknya, hidangan yang terdapat di restoran tersebut adalah resipi ibu bapanya yang masing-masing berasal dari Batu Pahat dan Mersing.
“Pembukaan kafe ini adalah cetusan idea daripada ayah saya, Abu Kassim Awang yang mahukan sebuah kafe khas menjual makanan asli Johor. Kafe ini diusahakan oleh kami adik beradik sejak Februari 2016. Kafe yang terletak di Damansara Utama adalah cawangan kedua yang beroperasi bermula 30 November lalu. Cawangan pertama D’Timer Cafe terletak di Wangsa Maju.
“Penggemar yang sudah biasa berkunjung ke kafe ini pasti memahami keenakan sebenar hidangan yang disediakan. Ini kerana, kami di sini amat mengutamakan kualiti setiap hidangan kerana bukan mudah untuk memasak pelbagai makanan tradisional yang asli,” katanya.
Antara makanan yang menjadi pilihan pengunjung D’Timer adalah laksa Johor, soto ayam, nasi impit dan lontong darat. Kafe ini turut menyediakan hidangan lain seperti nasi ambeng, kacang pool, mi bandung Muar, nasi beriani daging, mi rebus dan pelbagai jenis kek sebagai pemanis mulut.
Bagi laksa Johor, resipi yang digunakan adalah resipi turun temurun keluarganya. Lebih istimewa sehingga kini laksa Johor masih dimasak sendiri oleh ibunya, Zaleha Mohd. Yusoff untuk dijadikan pes.
“Pes yang siap dimasak akan dibawa ke kafe sebelum dimasak semula sepenuhnya oleh tukang masak dan dihidangkan kepada pengunjung.
“Kami menyediakan kuahnya menggunakan ikan kembung, kerisik, santan pekat dan dihidangkan bersama hirisan timun, bawang dan daun kesum untuk menaikkan aromanya,” ujarnya.
Jika anda inginkan menu yang lebih ringan, D’Timer turut menyediakan sajian minum petang seperti lempeng, roti jala, roti bom bersama kuah kari, roti bakar dan juga karipap.
Karipap berintikan bawang dan telur berbentuk empat segi yang dikenali sebagai ‘epok-epok’ disediakan setiap hari namun kuantiti mengikut kemampuan ibunya. Karipap panas ini sentiasa ditunggu-tunggu oleh pelanggan.
Sesuai dengan temanya ‘bila resipi tradisi bertemu kopi’, di sini disediakan pelbagai jenis kopi sebagai hidangan minum petang. Aroma kopi arabica sudah pasti membangkitkan selera dengan pilihan 10 jenis kopi yang dihidangkan panas dan juga sejuk.
Minuman yang menjadi signature di sini seperti D’Timer Coffee, teh tarik, air bandung soda serta minuman blended seperti yellow bliss dan black forest.
Terdapat lebih 50 menu disediakan dengan harga bermula pada harga RM1.50 hingga RM17.90. Beroperasi setiap hari mulai pukul 10 pagi hingga 10 malam dan boleh memuatkan hampir 70 orang dalam satu-satu masa.
Kafe ini turut menerima tempahan bagi mereka yang ingin mengadakan majlis tertutup seperti jamuan harijadi, perjumpaan keluarga, reunion sekolah, acara korporat atau sebagainya. Ternyata percaturan keluarga Azila untuk membuka kafe makanan tradisional Johor tidak sia-sia kerana selain makanan yang disediakan enak, anda juga pasti tidak akan menyesal mengunjunginya kerana D’Timer Cafe menyediakan sajian dan cita rasa tersendiri.










