Sah! Arul Kanda ditahan SPRM - Utusan Malaysia

Sah! Arul Kanda ditahan SPRM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA 11 Dis. – Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Arul Kanda ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini dipercayai berhubung kes pindaan laporan akhir pengauditan syarikat tersebut.

Menurut peguam mewakili Arul, Datuk N. Sivananthan, anak guamnya telah ditahan pada pukul 10.30 pagi ini.

Ujarnya lagi, Arul bakal dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur esok mengikut Seksyen 23 (1) Akta SPRM 2009 atas dakwaan meminda laporan audit itu.

“Selain anak guam saya, juga akan didakwa adalah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkaitan kes sama.

“Saya difahamkan beliau (Arul) bakal berhadapan satu pertuduhan membabitkan kes ini,” katanya ketika ditemui media di sini hari ini.

PEGUAM kepada bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Arul Kanda iaitu Da
PEGUAM kepada bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Arul Kanda iaitu Da 

Terdahulu, Arul dilihat hadir ke SPRM pada pukul 9.30 pagi dengan memakai topi berwarna hitam dan mengenai baju kemeja lengan panjang berwarna biru.

Dalam masa sama, bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa turut berada di SPRM.

Sebelum ini, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak; bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad dan bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang turut dirakam keterangan oleh SPRM bagi membantu siasatan berhubung kes sama.

Pada 25 November lalu, Ketua Audit Negara, Tan Sri Dr. Madinah Mohamad mendedahkan Najib mengarahkan pindaan dilakukan terhadap Laporan Akhir Pengauditan 1MDB menerusi pengguguran beberapa perenggan.

Antara pengguguran maklumat itu termasuklah membabitkan kehadiran ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low dalam mesyuarat Lembaga Pengarah 1MDB.

Menurut Madinah, Arul dan Ambrin merupakan antara individu yang turut terlibat dalam pindaan itu, malah juga terbabit bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada bekas Perdana Menteri, Tan Sri Shukry Salleh dan Ali yang ketika itu adalah Ketua Setiausaha Negara.

Turut terbabit, wakil Jabatan Peguam Negara, wakil Kementerian Kewangan, bekas Setiausaha Sulit Kanan kepada KSN dan bekas Pengarah Audit. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN