KUALA LUMPUR – Seramai tujuh individu tampil bagi membantu siasatan polis berhubung insiden rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 dan 28 November lalu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, tujuh individu itu merupakan antara 66 saksi yang dikesan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejak Isnin lepas.
Berhubung tangkapan pula, Fuzi menegaskan seramai empat suspek baharu diberkas.
“Jumlah tangkapan keseluruhan meningkat kepada 106 orang sehingga pukul 8 pagi tadi susulan penahanan empat suspek berkenaan,” katanya selepas merasmikan Majlis Berkhitan Perdana Polis Diraja Malaysia 2018 di Masjid Bukit Aman di sini hari ini.
Pada majlis itu, seramai 74 kanak-kanak yang juga anak warga PDRM menyertai majlis berkhatan secara beramai-ramai.
Dalam perkembangan lain, Fuzi memberitahu pihak polis masih belum merakamkan keterangan daripada Muhammad Adib Mohd. Kassim anggota bomba yang parah dipukul perusuh.
“Proses rakaman keterangan belum dilakukan berikutan keadaan kesihatan mangsa (Adib) tidak mengizinkan.
“Selain itu, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman dan polis Kontinjen Selangor giat mengesan mereka yang terlibat dalam insiden mencederakan Adib,” ujarnya.
Kosmo! pada 29 November lalu melaporkan Muhammad Adib anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya parah dipukul dalam rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman. – K! ONLINE










