KEPALA BATAS 9 Dis. – Seorang ejen insuran mengalami kerugian sebanyak RM23,920 selepas dipercayai ditipu sindiket yang menawarkan pinjaman tidak wujud yang diiklankan menerusi laman sosial Facebook di sini semalam.
Dalam kejadian itu, mangsa pada mulanya berhasrat membuat pinjaman sebanyak RM20,000 namun ditawarkan pinjaman sehingga RM50,000.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, mangsa yang berasal dari Permatang Pauh di sini telah memberi maklumat telefon sebelum dihubungi seorang lelaki yang mendakwa ejen syarikat ‘Loan Consider Capital’ yang menawarkan pinjaman peribadi.
Tambah beliau, mangsa kemudian bersetuju membuat pinjaman wang RM50,000 sebagai modal perniagaan sampingan namun diarahkan membuat pelbagai bayaran lain.
Bayaran itu, katanya, termasuk bagi membuka akaun MT; ansuran selama enam bulan; bayaran saman; bayaran membuka akaun keselamatan dan bayaran insuran bagi memproses permohonan pinjaman tersebut.
“Mangsa kemudiannya membuat lima transaksi pindahan dan dua transaksi deposit tunai dengan nilai keseluruhan RM23,920 di beberapa lokasi sekitar negeri ini ke dalam lima akaun pelbagai bank milik suspek.

“Mangsa sekali lagi diminta membuat tambahan bayaran disebabkan pinjaman dinaikkan menjadi RM100,000 tidak setuju dan berasa tertipu sebelum meminta wangnya dikembalikan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Menurut Noorzainy, pihaknya kini sedang menjalankan siasatan termasuk mengenal pasti maklumat akaun individu terbabit.
Tambahnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda.jika sabit kesalahan.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak terpedaya dengan sindiket penipuan dengan modus operandi seperti itu kerana peminjam tidak perlu membuat sebarang bayaran untuk proses pinjaman.
“Orang ramai juga dinasihatkan tidak membuat sebarang pinjaman menerusi iklan yang disiarkan di dalam laman sesawang atau secara online bagi mengelakkan terus terpedaya dengan sindiket penipuan ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE










