KUALA LUMPUR – Risiko keselamatan Tun Dr. Mahathir Mohamad selaku Perdana Menteri serta orang awam antara faktor utama Sambutan Hari Hak Asasi Manusia ditangguhkan.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, pihak polis menasihatkan penganjur untuk menangguhkan sambutan berkenaan susulan perhimpunan membantah ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) yang berlangsung pada hari yang sama.
Katanya, bentuk ancaman yang dijangka berlaku tidak boleh didedahkan, namun pihak polis memandang serius isu keselamatan negara termasuk orang awam.
“Perdana Menteri (Tun M) juga dijadualkan hadir pada sambutan di Padang Timur, Petaling Jaya itu dan sebagai pasukan keselamatan kita bertanggungjawab dalam memastikan keselamatan beliau serta rakyat Malaysia.
“Selain itu, kalau ada apa-apa terjadi kita juga yang akan dipersalahkan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Berkhitan Perdana Polis Diraja Malaysia 2018 di Masjid Bukit Aman di sini hari ini.
Pada majlis itu, seramai 74 kanak-kanak yang juga anak warga PDRM menyertai majlis berkhatan secara beramai-ramai.
Kosmo! semalam melaporkan Sambutan Hari Hak Asasi Manusia yang dirancang esok di Padang Timur, Petaling Jaya untuk memperingati Hari Hak Asasi Manusia Antarabangsa 2018 ditangguhkan pada Ahad.
Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), Tan Sri Razali Ismail berkata, Polis Diraja Malaysia memaklumkan kepada suruhanjaya dan Pejabat Perdana Menteri tanpa menyatakan butiran terperinci bahawa terdapat risiko serius terhadap keselamatan negara yang berkemungkinan timbul daripada program itu. – K! ONLINE










