KUALA LUMPUR 10 Dis. – Pasaran saham tempatan dan kewangan terus berdepan situasi mencabar hingga menyaksikan ringgit semakin lemah manakala Bursa Malaysia menghampiri paras terendah dalam tempoh dua tahun.
Petang ini, ringgit ditutup pada paras RM4.17 berbanding dolar setelah susut 0.10 peratus dalam sesi dagangan pagi berbanding RM4.1640 ketika ditutup Jumaat lalu.
Bagi pasaran saham pula, ia ditutup rendah setelah susut 17.23 mata kepada 1,663.31 mata setelah berlegar antara 1,674.67 mata hingga 1,662.81 mata. Kali terakhir Bursa Malaysia berada pada paras 1,663.03 mata direkodkan pada 17 Januari tahun lalu.
Nilai dagangan pula meningkat kepada 2.654 bilion saham bernilai RM1.374 bilion berbanding pada Jumaat lalu, 1.913 bilion saham bernilai RM1.506 bilion.
Trading Economics yang berpangkalan di New York, mengunjurkan ringgit mencecah RM4.15 berbanding dolar AS menjelang akhir suku keempat ini manakala pasaran saham, indeks FBM KLCI pula pada paras 1,777.76 mata.
“Berdasarkan unjuran analisis kami juga mendapati ringgit akan diniagakan sekitar RM4.19 berbanding dolar AS dalam tempoh 12 bulan akan datang. Bursa Malaysia pula diunjur berlegar pada 1,734.38 mata dalam tempoh ini.
“Sebelum ini, ringgit pernah menyusut serendah RM4.71 berbanding dolar AS yang direkodkan pada Januari 1998 manakala paling tinggi pada paras RM2.10 berbanding dolar AS pada Oktober 1978,” katanya dalam laman webnya di sini hari ini.
Penganalisis sebelum ini berpendapat penyusutan dolar AS akan berterusan berikutan langkah Rizab Persekutuan AS akan menaikkan kadar faedah menjelang tahun depan dan juga kebimbangan perang dagangan AS dan China.
Jumaat lalu, Bank Negara Malaysia (BNM) menunjukkan rizab antarabangsanya pada 30 November 2018 menyusut 0.1 peratus kepada AS$102 bilion (RM425.06 bilion) berbanding AS$102.1 bilion (RM425.48 bilion) yang direkodkan pada 15 November 2018.
Bagaimanapun, rizab tersebut meningkat 0.3 peratus daripada AS$101.7 bilion (RM424.24 bilion) yang direkodkan pada 31 Oktober 2018, selepas mengalami penyusutan enam bulan berturut-turut sejak Pilihan Raya Umum ke-14, 9 Mei lalu.
Keadaan itu turut diburukkan dengan kebimbangan memuncaknya perang dagangan AS dan China yang terus memberi tekanan kepada ringgit.
Menurut Kenanga Research, sepanjang November, ringgit diniagakan secara purata pada RM4.1867 berbanding dolar AS, susut 0.7 peratus, yang menandakan bulan ketujuh secara berturut-turut mengalami kemerosotan.
Setakat ini, katanya, ringgit menyusut tiga peratus berbanding dolar AS manakala berbanding mata wang Asia lain seperti rupiah, peso, baht dan dolar Singapura pula masing-masing 6.3 peratus, 5.6 peratus, 0.8 peratus dan 2.5 peratus.
“Di sebalik rizab asing yang mencukupi, ketidakpastian yang berpunca daripada faktor luaran akan terus memberi kesan kepada pertumbuhan domestik dalam masa terdekat dan sederhana.
“Ini termasuklah dasar monetari yang ketat oleh Rizab Persekutuan AS dan bagi perang dagangan pula, ketidaktentuan akan terus wujud sekalipun kedua-dua pihak mengumumkan tempoh 90 hari gencatan, memandangkan pelabur masih menunggu penyelesaian yang lebih konkrit,” katanya dalam nota kajian.









