SYDNEY – Beribu-ribu pelajar Australia ponteng sekolah semalam untuk menyertai tunjuk perasaan di seluruh negara bagi mendesak kerajaan bertindak menangani perubahan iklim dunia.
Pelajar sekolah rendah dan menengah berhimpun di ibu-ibu negeri di seluruh Australia, tindakan yang mengingkari saranan Perdana Menteri, Scott Morrison supaya mereka hadir ke kelas.
“Perdana Menteri kami berpendapat kami perlu berada di sekolah pada waktu ini,” kata seorang pelajar berumur 13 tahun, Siniva Esera kepada 1,000 peserta demonstrasi di bandar raya Sydney.
“Namun, bagaimana kami boleh berputih mata dan tidak berbuat apa-apa bagi melindungi masa depan planet ini,” tambahnya.
Morrison memberitahu Parlimen awal minggu ini bahawa kerajaan Australia komited untuk menangani perubahan iklim.
“Bagaimanapun, saya mahu memberitahu anda bahawa kami juga komited supaya pelajar pergi ke sekolah,” katanya.
Saranan Perdana Menteri itu yang digelar ScoMo tidak diendahkan oleh kumpulan pelajar tersebut. Mereka berarak sambil membawa sepanduk tertera slogan ‘Saya lebih benci Scomo daripada saya benci sekolah.’
Semasa demonstrasi itu, ribuan pelajar tersebut meminta kerajaan menyekat projek lombong Adani, sehari selepas firma perlombongan India itu mengumumkan bahawa ia akan meneruskan operasi melombong arang batu di utara Queensland.
“Sekiranya kita tidak menghentikan suhu daripada terus meningkat melebihi dua darjah Celsius, kita tidak akan ada lagi Terumbu Karang Besar, Antartika akan cair dan beruang kutub akan pupus,” kata murid perempuan berumur 11 tahun, Lucie Atkin-Bolton kepada orang ramai.”
Perarakan itu diadakan ketika lebih 100 kebakaran hutan terus marak di serata Queensland semalam dengan suhu panas melampau melanda negeri itu.
Pada hari sama, bandar Sydney di New South Wales yang berjiran dengan Queensland, dilanda ribut petir dan hujan lebat. Cuaca buruk memaksa banyak penerbangan dibatalkan dan ramai pemilik kenderaan terkandas di jalan raya. – AFP










