BAGAN DATUK 11 Dis. – Bagan Datuk sememangnya terkenal dengan penghasilan buah kelapa yang bermutu tinggi dan ramai penduduknya yang menanam tanaman tersebut.
Rezeki daripada tanaman tersebut turut dikongsi seorang penduduk di sini, Nordin Sayed Muhammad, 56, yang menjadikan mengopek kelapa tua sebagai punca pendapatannya sejak 30 tahun lalu.
Upah mengopek kelapa tidaklah tinggi, cuma 14 sen atau 15 sen bagi setiap sebiji kelapa yang lazimnya dilakukan dari pukul 8 pagi hingga pukul 4 petang.
“Biasanya 300 biji kelapa yang dikopek sehari dengan upah antara RM20 dan RM30.
“Selain mengopek kelapa, saya juga mengambil upah mengait dan mengangkut buah kelapa. Inilah punca pendapatan saya untuk menyara keluarga selama ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Menurutnya, dengan pendapatan serendah itu, dia tidak mampu mengumpul wang dan agak gusar memikirkan perbelanjaan untuk membeli keperluan persekolahan seorang anaknya.
Katanya, pendapatannya ber- gantung kepada keadaan cuaca kerana pada musim hujan seperti sekarang, agak sukar untuk mengait kelapa.
“Mengopek kelapa bukanlah pekerjaan mudah. Daripada mengait, mengangkut dan mengopek, pendapatannya tidak sebanyak mana.
“Kadangkala badan terasa sakit namun saya teruskan juga pekerjaan ini demi menyara keluarga,” katanya.
Nordin berkata, pendapatannya juga bergantung kepada harga semasa kelapa di pasaran.
Katanya, walaupun kelapa Bagan Datuk diakui memiliki kualiti yang baik, namun ada pihak mengambil kesempatan dengan mengimport kelapa dari Indonesia dan Thailand yang lebih murah.
“Ini akan menyebabkan lambakan kelapa seperti yang berlaku baru-baru ini. Saya berharap kerajaan mengatasi masalah ini untuk menjamin harga kelapa stabil,” katanya.










