Remaja cedera terjun ke dalam loji kumbahan - Utusan Malaysia

Remaja cedera terjun ke dalam loji kumbahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AMPANG JAYA – Tindakan nekad seorang remaja lelaki yang terjun daripada sebuah jejambat mengundang padah apabila dia terjatuh ke dalam kawasan loji kumbahan dan terpaksa diselamatkan oleh pasukan penyelamat dalam satu kejadian di Taman Cahaya di sini semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tun Hussein Onn, Mohamad Akmal Mohamad Khairi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian sekitar pukul 3.50 petang sebelum bergegas ke lokasi.

“Sebuah jentera serta sebuah pacuan empat roda dengan lapan anggota telah bergegas ke lokasi kejadian dan tiba kira-kira pukul 4.20 petang sebelum mendapati pagar di kawasan loji berkenaan dalam keadaan berkunci.

“Kami terpaksa menggunakan peralatan khas untuk memotong kunci mangga di pagar loji kumbahan berkenaan sebelum menemui remaja lelaki berusia 17 tahun itu dalam keadaan lemah terbaring di kawasan berumput,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut Mohamad Akmal, maklumat awal diperolehi mendedahkan remaja itu telah terjun daripada sebuah jejambat yang berada di belakang kawasan loji kumbahan tersebut sebelum terjatuh ke kawasan berumput di dalam kawasan loji berkenaan.

“Remaja tersebut kemudiannya bangun semula dan terjun ke dalam ruang kumbahan sedalam tiga meter yang berada di situ namun mungkin kerana kecederaan di bahagian pinggang yang dialami memaksa dia naik semula ke kawasan berumput di lokasi terbabit.

“Pemeriksaan yang dilakukan oleh pasukan perubatan mendapati remaja berkenaan mengalami beberapa kecederaan di bahagian pinggang serta kaki dan dia kemudiannya dikejarkan ke Hospital Ampang untuk rawatan lanjut,” ujar beliau.

Tambah Mohamad Akmal, motif kejadian tidak diketahui dan kes diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan serta tindakan selanjutnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN