PASIR MAS 19 Dis. – Meredah arus banjir paras lutut dan sesekali dada bukan tugas mudah, tambahan pula membabitkan soal keselamatan nyawa.
Namun bagi seorang bapa, Nik Zamari Mohd. Nor, 41, dia sanggup bergadai nyawa meredah arus banjir sejauh tiga kilometer bagi memastikan dapur rumahnya terus berasap.
Semua itu berlaku selepas jalan utama masuk ke Kampung Kubang Pak Itam di sini ditenggelami banjir menyebabkan penduduk terputus hubungan.
Nik Zamari berkata, dia terpaksa mengharungi banjir paras dada sejauh tiga kilometer bersama anaknya kerana tidak mempunyai kemudahan bot galah.
Menurutnya, dia membawa anak lelaki sebagai peneman bagi memudahkan tugas untuk membawa barangan keperluan bagi menghadapi banjir.
“Kubang Pak Itam mula dilanda banjir sejak empat hari lalu dan menyebabkan kami terputus hubungan.
“Bukan itu sahaja, rumah saya sudah ditenggelami air paras pinggang. Buat masa ini saya dan keluarga tinggal di atas para sambil menunggu arahan untuk berpindah,” katanya di sini semalam.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati bot galah menjadi pengangkutan utama dalam urusan harian penduduk di kawasan yang terjejas itu.










