KUALA LUMPUR 29 Dis. – Pihak berkuasa perlu merangka kajian dan strategi yang lebih efektif dalam usaha memerangi dadah dari semasa ke semasa bagi membanteras masalah itu dalam kalangan pelajar sekolah.
Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye berkata, Malaysia terkenal sebagai pusat penghasilan dan transit penyeludupan dadah termasuk jenis sintetik walaupun banyak makmal telah berjaya dibongkarkan.
“Dadah sintetik jenis amphetamine (ATS) atau ‘designer drugs’ adalah antara jenis dadah yang digunakan dalam makanan atau minuman pelajar untuk tujuan ketagihan.
“Bahkan semakin banyak dadah sintetik baru telah diperkenalkan dan ‘keldai’ dadah ini lebih kreatif untuk menarik sebanyak mungkin pengguna baru terutama pelajar,” katanya dalam kenyataan di sin hari ini.
Menurutnya, pihak Kementerian Pendidikan dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) perlu bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk melibatkan ibu bapa untuk mengatasi membentung penyalahgunaan dadah.
“Tanpa program pencegahan yang sesuai dan penglibatan semua pihak yang dekat dengan pelajar ini, usaha untuk membebaskan sekolah daripada pengaruh dadah tidak akan tercapai,” ujarnya.
Sebelum ini, AADK mendedahkan seramai 1,709 pelajar sekolah menengah di 178 kawasan seluruh negara berisiko positif dadah menerusi saringan ujian air kencing.– UTUSAN ONLINE










