KUALA LUMPUR 1 Dis. – Penjelajah Grand Slam negara, Muhammad Muqharabbin Mokhtarruddin yang dalam usaha mendapatkan tempat ke ekspedisi Polar Fjallraven 2019 kini menduduki tangga keenam dunia.
Lebih membanggakan, Muhammad Muqharabbin atau Qobin yang mahu bersama-sama 20 penjelajah dunia meluncur salji sejauh 300 kilometer di Kutub Utara dalam ekspedisi itu turut mendahului peserta-peserta lain bagi bahagian Asia dan Oceania.
Qobin kini mendahului apabila mendapat sebanyak 12,559 undi berbanding pencabar terdekatnya dari Indonesia iaitu Willy Kurniawan yang mendapat 12,488 undi sehingga pukul 7 pagi tadi.
Justeru, Qobin berharap seluruh rakyat dapat terus menyatakan sokongan terhadap usaha beliau membawa nama Malaysia ke ekspedisi berkenaan menerusi undian di laman web http://bit.ly/qobinforpolar.
“Saya perlu konsisten dan ingin terus berada di depan dalam undian ini bagi merealisasikan impian membawa nama Malaysia serta Asia/Oceania ke Polar Fjallraven nanti.
“Bukan mudah mahu menarik dan memujuk semua mengundi tetapi Alhamdulillah, ramai yang bersemangat untuk membantu serta berkongsi laman undian. Melalui cara itu, lebih ramai akan faham bagaimana cara-cara untuk mengundi,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Ekspedisi ekstrem meluncur salji di bahagian utara dunia tajaan sepenuhnya Polar Fjallraven itu dijangka mengambil masa enam hingga tujuh hari dan peserta perlu mengharungi pelbagai cabaran seperti suhu ekstrem sehingga negatif 30 darjah Celsius, permukaan salji yang tebal dan cuaca tidak menentu.
Sekiranya berjaya, Qobin akan jadi penjelajah Malaysia kedua selepas Mohd. Khairizal Mohd. Khalif yang terpilih tahun lalu. – UTUSAN ONLINE










