KUALA LUMPUR 19 Dis. – Pergerakan Puteri UMNO menerima dan menghormati keputusan yang dibuat Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang memberi kepercayaan kepada timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan untuk menjalankan tugas-tugas sebagai presiden parti.
Ketuanya, Datuk Zahida Zarik Khan berkata, UMNO mesti terus kekal di hadapan dan diperlukan dalam landskap politik negara pada saat penuh mencabar.
Malah, katanya, hal ini ditambah dengan kegagalan kerajaan Pakatan Harapan mempertahankan kedaulatan agama Islam, hak-hak majoriti serta keharmonian kaum pasca Pilihan Raya Umum ke-14.
“Dengan saf kepemimpinan UMNO sedia ada, Puteri akan terus mara, akan teruskan perjuangan parti keramat ini dalam usaha kebangkitan bagi mengembalikan semula kepercayaan rakyat kepada parti,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Beliau mengulas tindakan Presiden UMNO yang menyerahkan tugas-tugasnya kepada Mohamad bagi menyelamatkan parti daripada terus berpecah dan juga demi penyatuan ahlinya.
Ahmad Zahid berkata, langkah tersebut penting dalam usaha memastikan UMNO bangkit kembali terutama ketika ramai ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menerima pelbagai tekanan meninggalkan parti itu. – UTUSAN ONLINE










