KUALA LUMPUR 22 Dis. – Seramai 76 wanita pelayan pelanggan (GRO) warga asing ditahan dalam serbuan di sebuah pusat hiburan terkemuka di Jalan P. Ramlee, di sini tengah malam tadi.
Kesemua mereka ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7), Kuala Lumpur dalam serbuan yang dilakukan kira-kira pukul 11 malam.
Pegawai Turus D7, Kuala Lumpur, Deputi Superintenden Rohazah Alwi berkata, pusat hiburan terbabit diserbu selepas mendapati mereka menggaji wanita asing sebagai pelayan selain beroperasi tanpa lesen.
“Hasil siasatan mendapati, wanita warga asing ini akan duduk bersama pelanggan yang ingin minum bersama mereka dengan bayaran RM100.
“Semakan lanjut ke atas kesemua wanita terbabit mendapati sebahagian mereka dipercayai memasuki negara ini sebagai pelancong namun bekerja sebagai pelayan,” katanya, di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE










