ALOR SETAR – Sikap suka mencabar diri untuk mendapat keputusan cemerlang dalam setiap peperiksaan di sekolah membolehkan Nur Sofi Musfirah Sopha, 15, memperoleh 10A dalam Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) yang diumumkan hari ini.
Menurut Nur Sofi Musfirah yang merupakan anak kepada bekas wartawan Utusan Malaysia, Sopha Sulaiman, 63, dia menganggap semua peperiksaan di sekolah adalah peperiksaan besar dan akan membuat persediaan yang terbaik.
“Selain mencabar diri sendiri untuk dapat keputusan terbaik, cabaran juga datang daripada dua kakak saya yang sebelum ini mendapat 10A dan 11A dalam peperiksaan di sekolah sama.
“Kami empat beradik sentiasa memberi dorongan antara satu sama lain yang mana kakak menjadi antara tempat rujukan jika saya tidak memahami mana-mana topik dalam pelajaran,” katanya ketika ditemui di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultanah Asma di sini hari ini.

Nur Sofi Musfirah ditemani ibunya, Nazrani Musa, 52, dan bapanya ketika hadir ke sekolah untuk mengambil keputusan peperiksaan tersebut.
Sementara itu, dua sahabat baik, Sofea Irdenna Annuar dan Nur Syaza Edrina Mahamad Zaki terkejut apabila memperoleh keputusan 10A dalam peperiksaan tersebut.
Ini kerana, menurut Sofea, dia dan Nur Syaza hanya mendapat tiga dan empat A dalam peperiksaan percubaan sebelum ini. – K! ONLINE











