KUALA LUMPUR 7 Dis. – Penyusutan peruntukan bagi pelaksanaan program Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) daripada RM50 juta tahun ini kepada RM5 juta tahun hadapan menyebabkan beberapa pengubahsuaian akan dibuat.

Ini termasuk matlamat latihan yang tidak lagi hanya melahirkan graduan ‘makan gaji’ tetapi juga usahawan yang boleh mencipta peluang pekerjaan sendiri.
Selain itu, Ketua Sekretariat SL1M, Norashikin Ismail memberitahu, kuota kemasukan pelajar juga akan dihadkan daripada 25,000 sebelum ini kepada 10,000 sahaja.
“Kita ada dua matlamat sekarang iaitu membantu pencari kerja dan membuka peluang pekerjaan, dulu program makan gaji sahaja sekarang kita nak graduan jadi tauke gajikan orang.
“Dengan peruntukan yang kecil kita perlu berfikir di luar kotak kerana untuk seorang graduan SL1M kita habiskan kira-kira RM29,000 dan melalui program usahawan mungkin kos boleh dikurangkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di program pembangunan usahawan SL1M yang dihadiri Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Dr. Mohd. Hatta Ramli, di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE









