PUTRAJAYA 19 Dis.- Keputusan sama ada Datuk C. Sivarraajh layak bertanding atau tidak dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands pada 26 Januari depan akan ditentukan sebelum hari penamaan calon.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun berkata, pihaknya sedang meneliti dengan lebih lanjut laporan oleh Hakim Pilihan Raya mengenai kelayakan Sivarraajh yang juga penyandang kerusi berkenaan.
“Sekarang SPR juga sedang menunggu penasihat undang-undang daripada pihak berkenaan mengenai status kelayakan tersebut. Selepas keputusan diterima, makluman mengenainya akan dibuat dengan segera.
“Keputusannya itu akan diumumkan sebelum hari penamaan calon,” katanya dalam sidang akhbar PRK P.078 Cameron Highlands di sini hari ini.
Semalam, Presiden MIC, Tan Sri S. A. Vigneswaran memaklumkan Sivarraajh merupakan antara calon yang akan disenarai MIC untuk dipertimbangkan bertanding pada PRK Parlimen Cameron Highlands.
Beliau berkata, Sivarraajh disenaraikan berikutan maklum balas positif daripada akar umbi selain beliau layak bertanding pada PRK itu kerana mahkamah menyatakan tiada keterangan bahawa Naib Presiden MIC itu terlibat dalam rasuah.
Terdahulu, SPR hari ini menetapkan hari pengundian PRK P.078 Cameron Highlands pada 26 Januari depan dengan hari penamaan calon pada 12 Januari dan mengundi awal pula pada 22 Januari.-UTUSAN ONLINE










