TEMERLOH 23 Dis. – Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands pada 26 Januari ini bakal menjadi cabaran kepada PKR negeri bagi membantu rakan gabungannya dalam Pakatan Harapan iaitu DAP merampas kerusi itu daripada Barisan Nasional (BN).
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR negeri, Fuziah Salleh berkata, PRK itu merupakan pentas terbaik buat PKR negeri memberi sumbangan kepada calon DAP yang bertanding di kawasan berkenaan.
“PKR Pahang telah memberi tanggungjawab kepada Ketua Cabang PKR Cameron Highlands, Tan Wei dan Ketua Cabang PKR Lipis, Rizal Jamin bagi menjalankan gerak kerja sepanjang tempoh berkempen.
“PKR percaya dengan kewibawaan kedua-dua ketua cabang itu yang mengambil kira cabaran realiti politik semasa yang memerlukan lebih kuat memenangi hati pengundi,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat MPN PKR negeri di Bukit Bendera Resort Mentakab di sini hari ini.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 26 Januari ini sebagai hari pengundian bagi PRK Parlimen Cameron Highlands.
Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun dilaporkan berkata, mesyuarat khas yang diadakan oleh suruhanjaya itu hari ini juga menetapkan 12 Januari ini sebagai hari penamaan calon.
Dalam pada itu, Fuziah berkata, MPN PKR negeri turut melafaskan ikrar setia kepada Presiden parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali gus berharap proses peralihan kuasa Perdana Menteri kelapan akan berjalan dengan lancar. – UTUSAN ONLINE










