KLANG – Pasukan Polis Marin (PPM) berjaya merampas 1,580 karton rokok pelbagai jenis bernilai RM235,576 termasuk cukai dalam serbuan di sebuah premis yang dijadikan stor penyimpanan di Bandar Bukit Tinggi di sini kelmarin.
Dalam serbuan pukul 9.30 pagi itu, turut menahan seorang lelaki berusia 47 tahun dipercayai penjaga premis.
Komander PPM Wilayah 1, Asisten Komisioner Rosman Ismail berkata, kejayaan tersebut hasil maklumat dan risikan pihaknya terhadap modus operandi sindiket penyeludupan rokok yang menyeludup masuk rokok dipercayai dari negara jiran secara haram.
“Hasil pemeriksaan di premis tersebut menemui sebanyak 1,580 karton pelbagai jenis rokok keretek dan rokok putih dianggarkan berjumlah RM235,576 termasuk cukai.
“Kita turut merampas dua buah kereta jenis Perodua Myvi dan Ford Ranger di luar premis tersebut yang dipercayai digunakan bagi tujuan pengedaran rokok seludup itu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Kes disiasat dibawah Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967. – K! ONLINE











