Minggu lalu, saya berkongsi bagaimana Google dan Temasek mengemas kini kajian industri mereka yang menyatakan e-dagang di Asia Tenggara pada 2025 dijangka bernilai RM996 bilion.
Angka yang dikemaskini meningkat daripada ramalan tahun sebelumnya iaitu sebanyak RM166 bilion disebabkan pembangunan besar dalam sewa percutian, penghantaran makanan, langganan muzik dan video atas permintaan dalam talian.
Kajian itu juga meramalkan ekonomi internet di Asia Tenggara akan mencecah RM299 bilion bagi nilai dagangan kasar (GMV) pada 2018. Sebahagian besar penilaian akan dipegang oleh sektor e-dagang bernilai RM423 bilion menjelang 2025.
Tetapi, untuk mencapai matlamat itu, kajian tersebut juga menyatakan kumpulan tenaga ahli ekonomi dalam talian yang lebih besar diperlukan untuk merealisasikan potensi penuh industri.
Oleh itu, kami menjalankan kajian untuk menganalisis tenaga kerja e-dagang dan melihat jika Asia Tenggara dapat mencapai potensi RM996 bilionnya. Bagaimanapun, industri e-dagang tidak ramai yang mempunyai kepakaran teknikal.
* Lebih banyak bakat diperlukan
Mengikut kajian kami, bilangan pekerja yang tertinggi adalah dalam sektor operasi dan pemasaran diikuti kedudukan ketiga dan keenam ialah sektor kejuruteraan dan teknologi dalam talian.
Berdasarkan kajian pasaran, cabaran sebenar datang ketika mencari kakitangan yang sangat mahir dalam bidang teknikal seperti kejuruteraan perisian, pemasaran digital, sains data dan pemasaran produk.
Pekerja yang mempunyai peranan teknikal ini amat mencabar kerana pertumbuhan pesat e-dagang, bermakna tidak ada bekalan tenaga kerja sebelum ini untuk ekonomi digital pada tahun-tahun sebelumnya.
Kekurangan bakat untuk kepakaran khusus e-dagang adalah isu yang dikenal pasti sebagai cabaran paling kritikal dan tidak dapat diselesaikan menurut Google dan Temasek. Oleh itu, amalan biasa untuk merekrut bakat asing dalam e-dagang adalah yang mempunyai pengalaman dan pengetahuan relevan.
Walau bagaimanapun, ini bukanlah penyelesaian jangka panjang yang terbaik kerana kebanyakan ekspatriat bekerja dengan kontrak yang pendek dan hanya segelintir berhasrat untuk kekal dalam sesuatu pekerjaan lebih daripada lima tahun.
* Melabur dalam bakat tempatan
Penyelesaian ideal adalah melabur dalam bakat tempatan yang lebih cenderung memberi komitmen untuk kerjaya dalam jangka masa panjang. Ini memerlukan penyertaan kedua-dua perekrut dan tenaga kerja masa hadapan
Jurucakap Facebook Indonesia menyatakan syarikat digital perlu menukar proses pengambilan pekerja daripada yang lama kepada proses baharu kerana ia dijangka lebih berkesan.
Satu daripada cara untuk menyelesaikan masalah ini adalah memasukkan proses pemikiran semula dan mengutamakan calon yang mempunyai motivasi diri dan berkesan dalam penyelesaian masalah dan konflik.
Ini bermakna meletakkan kepentingan yang lebih rendah pada kemahiran teknikal dan pengetahuan khusus industri. Perekrut daripada sektor digital perlu melabur sumber mereka dalam melatih tenaga kerja untuk mengurangkan kekurangan kemahiran teknikal dan pengetahuan.
Sebaliknya, universiti dan kolej perlu menangani isu-isu yang meluas seperti perubahan pekerjaan yang kerap dan pemikiran strategik dalam kalangan graduan baharu.
* Kurang kemahiran asas
Seorang penyelidik pasaran menyatakan bahawa kemahiran yang paling kurang adalah penyelesaian masalah, pemikiran strategik dan kemampuan mengajar. Ini adalah isu yang meluas kerana kebanyakan graduan baharu di rantau ini tidak mempunyai pengalaman kerja ketika memasuki alam pekerjaan.
Berlainan dengan Amerika Utara, para belia mengambil pekerjaan sambilan dan mendapat pengalaman bekerja sebelum memulakan pendidikan tinggi.
Mengenai perkara itu, penyelidik pasaran, Cynthia Luo, mengulas “Graduan baharu kurang kemahiran asas apabila memasuki pekerjaan pertama mereka iaitu rasa tanggungjawab yang baik, profesional dalam komunikasi dan pengurusan tekanan. Dan mendapati ia sukar bagi mereka ketika bekerja dalam syarikat yang berkembang pesat dengan sasaran yang tinggi.”
Akhir sekali, generasi akan datang perlu tahu mengenai potensi sektor e-dagang yang besar untuk memberi mereka inspirasi dan motivasi memulakan kerjaya dalam arena digital.
Ini memerlukan penglibatan aktif daripada keduanya, pendidik dan dan juga pengguna e-dagang melalui inisiatif kerjasama yang bertujuan memberi inspirasi dan menunjukkan apa yang diperlukan untuk berkembang maju dalam ekonomi digital.
Jeremy Chew adalah Ketua Pemasaran Kandungan di iPrice Group Malaysia (https://iprice.my)










