WASHINGTON 6 Dis. – Enam senator Amerika Syarikat (AS) daripada pelbagai parti politik mengusulkan satu resolusi bagi mendakwa Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed bin Salman terlibat dalam kes pembunuhan wartawan Jamal Khashoggi.
Al-Jazeera melaporkan, resolusi tersebut diusulkan semalam selepas Jawatankuasa Hubu-ngan Luar Senat AS ‘berkeyakinan tinggi’ bahawa Mohammed atau lebih dikenali dengan jolokan MBS adalah dalang pembunuhan itu.
Mohammed boleh didakwa secara rasmi membunuh Jamal di Konsulat Arab Saudi di Istanbul, Turki pada 2 Oktober lalu sekiranya resolusi tersebut diluluskan oleh Dewan Senat.
Senator Lindsey Graham menerusi satu kenyataan berkata, resolusi tersebut secara jelas mendakwa Mohammed adalah dalang sebenar dalam pembunuhan wartawan Washington Post itu, selain membahayakan keselamatan negara ini dalam pelbagai sektor.
Keputusan untuk mengusulkan resolusi tersebut dibuat selepas ketua pendakwa raya Istanbul memfailkan waran tangkap terhadap dua pegawai kanan Mohammed yang didakwa terlibat dalam pembunuhan Jamal.
Selain itu, resolusi tersebut mendakwa Mohammed turut bertanggungjawab dalam konflik perang di Yemen apabila pakatan tentera yang diketuai Arab Saudi melancarkan kempen serangan udara secara besar-besaran ke atas negara itu sejak 2015.
Dianggarkan lebih 18,000 serangan udara dilancarkan di Yemen, menyebabkan puluhan ribu penduduk awam terbunuh.
Keenam-enam senator itu juga mendesak supaya Arab Saudi mengadakan rundingan secara terus dengan wakil kumpulan militan Houthi bagi menamatkan konflik perang di Yemen.
Resolusi berkenaan turut menggesa Riyadh dan tiga negara Arab yang lain menghentikan sekatan terhadap Qatar dan mencari penyelesaian politik bagi meredakan ketegangan diplomatik dalam Majlis Kerjasama Teluk (GCC).
Terdahulu, Setiausaha Negara, Mike Pompeo dan Setiausaha Keselamatan AS memaklumkan kepada barisan senator bahawa tiada bukti kukuh untuk mengaitkan Mohammed dengan kes pembunuhan Jamal dan mendesak mereka supaya tidak mengeruhkan hubungan dengan Riyadh.
Malah, Presiden Donald Trump secara berulang kali mengelak untuk mengaitkan pembabitan Mohammed dalam insiden 2 Oktober lalu.
Ini di sebalik laporan Agensi Perisikan Pusat (CIA) sebelum ini mendakwa Mohammed mengarahkan supaya Jamal dibunuh.










