Polis selamatkan mangsa sindiket perjudian warga China - Utusan Malaysia

Polis selamatkan mangsa sindiket perjudian warga China

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SERDANG – Akibat cuba melarikan diri daripada cengkaman sebuah sindiket perjudian online, dua orang pemuda warganegara China dikurung dan didera sebelum ditemui pihak polis dalam satu serbuan di sebuah banglo di kawasan perumahan elit dekat Taman Equine, Seri Kembangan di sini semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, kedua-dua lelaki berkenaan ditemui dalam keadaan bergari pada katil dan didera berikutan kesan luka pada tangan serta muka mereka.

“Kedua-dua mangsa yang berusia dalam lingkungan 20-an itu mendakwa mereka dijanjikan pekerjaan oleh sindiket berkenaan namun tidak menyangka akan ditugaskan sebagai pengendali perjudian secara online apabila tiba di banglo ini.

“Apabila cubaan mereka untuk melarikan diri diketahui ahli sindiket, kedua-dua mangsa tersebut telah didera dan dikunci di dalam salah sebuah bilik yang terdapat di banglo empat tingkat ini sebelum berjaya diselamatkan oleh pihak polis,” katanya ketika ditemui di sini.

Menurut Fadzil, selain dua mangsa tersebut, pihak polis turut berjaya menahan seramai 32 orang warganegara China termasuk tiga wanita berusia 20 hingga 52 tahun yang menjadikan banglo tersebut sebagai markas operasi perjudian secara online.

“Serbuan yang dilakukan sekitar pukul 4.10 petang ini dilakukan berdasarkan maklumat awam yang kami terima dan siasatan awal mendapati mereka (sindiket) telah aktif beroperasi sejak pertengahan November lalu.

“Rekod menunjukkan bahawa sindiket perjudian online ini mampu menjana keuntungan sebanyak RM15 juta dalam masa sebulan dengan menyasarkan pemain judi dari luar negara terutamanya Hong Kong dan China,” ujar beliau.

Tinjauan ke banglo berkenaan mendapati, kesemua mereka tinggal di bawah satu bumbung berikutan keadaannya yang tidak ubah seperti sebuah asrama pekerja dan mereka juga tidak dibenarkan untuk keluar dari premis berkenaan.

Kosmo! Online difahamkan, kesemua yang ditahan tidak memiliki dokumen perjalanan sah dan tidak mampu bertutur dalam bahasa Melayu serta Inggeris.

Jelas Fadzil, pihaknya telah menemui sejumlah kad bank daripada bank-bank komersial di China termasuk beberapa unit penerima Kod Pengesahan Transaksi (TAC) di premis terbabit yang dipercayai digunakan untuk melakukan transaksi wang perjudian dari serata dunia.

“Kami turut merampas sebanyak 16 unit komputer, tiga router internet bersama modem serta sejumlah alat penerima TAC,” ujarnya.

 “Kesemua yang ditahan seterusnya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang untuk siasatan lanjut dan kes kini disiasat di bawah Akta Rumah Judi Terbuka 1953 serta Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007,” katanya. – K! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN