KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memanggil tiga individu dipercayai penganjur himpunan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) untuk diambil keterangan.
Difahamkan, tiga individu terbabit akan dipanggil untuk dirakam percakapan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi pada petang ini.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, tindakan tersebut dilakukan selepas pihaknya menerima satu laporan polis berhubung terdapat segelintir peserta membawa kanak-kanak ketika perhimpunan berkenaan dijalankan.
“Mereka (penganjur) sebelum ini telah berjanji dengan PDRM bahawa tiada kanak-kanak akan terlibat ketika perhimpunan tersebut namun mereka gagal menunaikan janji berkenaan.
“Kita akan memanggil tiga individu yang merupakan penganjur himpunan tersebut untuk diambil keterangan dan disiasat di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar sempena majlis Ronda Cegah Jenayah di Pekarangan Pasar Seni di sini hari ini. – K! ONLINE










