WELLINGTON 9 Dis. – Polis New Zealand menemukan mayat dipercayai warga Britain, Grace Millane di pinggir Auckland hari ini.
BBC melaporkan Inspektor Detektif Scott Beard memberitahu mayat wanita tersebut dipercayai dibunuh ditemukan kira-kira 10 meter dari jalan luar bandar, Scenic Drive.
“Ini adalah masa yang sukar buat keluarga Millane dan rasa simpati kami kepada mereka.
“Kami juga memberikan banyak sokongan kepada bapa Millane yang datang ke sini bersama adiknya,” katanya.
Millane yang baharu tamat pengajian di Universiti Lincoln pada September lalu telah melancong secara beg galas seorang diri di New Zealand selama dua minggu.
Semalam, polis mengumumkan bahawa Millane kemungkinan sudah meninggal dunia berdasarkan siasatan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), pemeriksaan forensik pada hotel di mana kali terakhir mangsa kelihatan serta penemuan kenderaan.
Tambahnya, suspek lelaki berusia 26 tahun yang dilihat pada malam Millane hilang telah ditahan polis dan didakwa membunuh mangsa. – AGENSI










