KUALA LUMPUR 23 Dis. – Polis masih menunggu keputusan bedah siasat kali kedua Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund Sdn. Bhd. (Cradle Fund), Allahyarham Nazrin Hassan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, pihaknya mungkin akan menerima laporan penuh bedah siasat tersebut dalam masa terdekat ini.
“Tiada perkembangan baharu, kita masih tunggu laporan perubatan.
“Mungkin akan terima laporan penuh bedah siasat kali kedua Allahyarham dalam masa terdekat,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Nazrin meninggal dunia dalam kebakaran di rumahnya di Petaling Jaya dekat sini pada 14 Jun lalu selepas telefon bimbit miliknya dikatakan meletup.
Bagaimanapun, dua bulan kemudian, polis mengklasifikasikan kes itu sebagai kes bunuh selepas siasatan bomba mendapati ada kesan petrol di tempat kejadian.- UTUSAN ONLINE










