KUALA LUMPUR – Polis Kuala Lumpur menahan seramai 425 individu yang merupakan pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam tiga operasi berasingan membanteras mereka di sekitar ibu negara bermula pada Rabu lalu hingga semalam.
Tiga operasi itu melibatkan Operasi Bersepadu Siri 24/2018 dan 25/2018 serta Op Tiong Siri 4/2018 di beberapa kawasan antaranya Chow Kit, Wangsa Maju, Terminal Bersepadu Selatan, Brickfields dan Dang Wangi di sini bagi membanteras aktiviti jenayah dan kes-kes melibatkan PATI.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, sepanjang tiga operasi itu, polis telah menjalankan pemeriksaan terhadap 728 warga asing dan menahan 394 lelaki dan 31 wanita.
“Antara mereka yang ditahan adalah dari Bangladesh, Myanmar, Indonesia, Zimbabwe, Nigeria dan juga Uganda dan tindakan terhadap mereka diambil mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) kerana masuk dan tinggal di negara ini tanpa pas atau permit yang sah dan juga akta lain yang berkaitan.
“Tangkapan tersebut dibawa ke Lokap Berpusat Jinjang, Lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi dan IPD Cheras untuk tindakan lanjut mengikut prosedur operasi standard yang telah ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau menambah, bagi Op Tiong pula, seramai 13 lelaki dan dua wanita warga Nigeria serta seorang wanita Uganda ditahan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan keranan terlibat dalam tujuh kes penipuan yang berbeza.
“Kesemua tahanan berkenaan telah dibawa ke Lokap Berpusat Jinjang di sini untuk siasatan lanjut pihak polis.
“Operasi-operasi itu dijalankan dengan kerjasama IPD di dalam Kontinjen Kuala Lumpur serta agensi sahabat antaranya Jabatan Pendaftaran Negara, Angkatan Pertahanan Awam, Kementerian Pendidikan Tinggi dan Jabatan Imigresen Malaysia,” ujarnya.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan permasalahan berkaitan PATI boleh menyalurkannya kepada Pusat Kawalan Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 0522 sambungan 584/585 atau mana-mana balai polis yang berhampiran. – K! ONLINE










