TASEK GELUGOR 20 Dis. – Polis sedang mengesan seorang lelaki warga Indonesia, Jonathan Sihotang, 31, bagi membantu siasatan kes amuk di sebuah kilang memproses sejuk beku di Kampung Selamat, dekat sini petang semalam.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, Jonathan kali terakhir dilihat meninggalkan kilang itu petang semalam menaiki motosikal jenis Yamaha Sport berwarna biru dengan nombor pendaftaran PBM 1524.
Katanya, Jonathan merupakan pekerja kilang itu sejak kira-kira setahun lalu dan motosikal yang digunakan ketika meninggalkan kilang tersebut petang semalam adalah kepunyaan salah seorang keluarga pemilik kilang tersebut.
“Sehubungan itu, kita meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai pekerja ini supaya menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Superintenden Mohd. Noor Azman Md. Safar di talian 019-5761877 atau tampil ke balai polis yang berdekatan bagi membantu siasatan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang semalam, seorang wanita, Sia Seok Kee, 41, maut ditetak dengan parang oleh seorang lelaki yang mengamuk selepas dipercayai tidak berpuas hati kerana tidak mendapat gaji seperti ditetapkan.
Turut cedera parah akibat ditetak dalam kejadian di bilik sejuk beku kilang itu ialah dua anak wanita berkenaan iaitu Yong Wei Keong, 14, dan Sia Yung Jern, 17, yang ketika kejadian sedang bekerja di kilang tersebut. – UTUSAN ONLINE










