KUALA LUMPUR 19 Dis. – Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad kini tiada pilihan lain selain daripada memecat atau menggugurkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy dari barisan Kabinet.
Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Dr. Ibrahim Ali berkata, selagi Waytha Moorthy berada dalam Kabinet, kerajaan Pakatan Harapan (PH) akan dianggap tidak mempunyai kredibiliti, tidak bermaruah serta tidak prihatin kepada rakyat.
Kata Ibrahim, banyak janji PH kepada rakyat yang tidak tertunai, malah, peri laku buruk seorang anggota Kabinet juga didapati gagal diambil tindakan.
“Ini seolah-olah Kabinet mainan yang tiada maruah. Kabinet retorik sahaja. Segeralah Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir bertindak. Jangan tunggu lama-lama. Nanti rakyat makin marah.
“Tidak perlulah rakyat terpaksa demonstrasi. Kini, demonstrasi sudah mula menjadi budaya rakyat. Kasihanlah kepada rakyat yang kini kehidupan mereka amat tertekan kerana peningkatan kos sara hidup yang dahsyat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Waytha Moorthy kini dianggap individu yang perlu bertanggungjawab terhadap isu rusuhan di kuil Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya dekat sini sehingga mengorbankan anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, Muhammad Adib Mohd. Kassim. – UTUSAN ONLINE










