Pilihan Raya PBT: Pemuda UMNO sokong ketegasan Dr. Mahathir - Utusan Malaysia

Pilihan Raya PBT: Pemuda UMNO sokong ketegasan Dr. Mahathir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 11 Dis. – Pergerakan Pemuda UMNO menyambut baik ketegasan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang menolak untuk mengadakan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) di sebalik terdapat segelintir kepemimpinan kerajaan Pakatan Harapan (PH) terutama dari DAP yang masih mahu memperjuangkan isu tersebut.

Ketua Pemudanya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, ketegasan Dr. Mahathir tersebut adalah disokong ketika Pemuda UMNO melihat usaha pejuang-pejuang negara terdahulu untuk menstabilkan sosioekonomi rakyat akan musnah jika pilihan raya PBT diadakan semula.

“Pemuda UMNO menyambut baik ketegasan Dr. Mahathir menolak usaha segelintir anggota di dalam kerajaan PH yang ingin mengembalikan pilihan raya PBT. Pada masa yang sama, saya berasa janggal melihatkan reaksi pimpinan PH khususnya DAP yang bermati-matian memperjuangkan isu ini seumpama ada maksud tersirat di sebaliknya.

“Saya menyokong ketegasan Perdana Menteri mengenai isu ini dan Pemuda UMNO tidak mahu usaha-usaha murni pejuang-pejuang negara terdahulu untuk menstabilkan struktur sosioekonomi rakyat dipunahkan oleh rancangan jahat DAP yang ingin menguasai pusat kegiatan ekonomi negara. Ini sekali gus menyisihkan orang Melayu dan bumiputera secara sistematik dan terancang,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Semalam, Dr. Mahathir menegaskan pilihan raya PBT tidak akan diadakan kerana berkemungkinan boleh mewujudkan konflik perkauman dan menghasilkan keputusan yang salah antara bandar dan luar bandar.

Namun begitu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng pula berkata, parti itu bertegas mahukan pilihan raya PBT diadakan dan mendesak sebarang keputusan mengenai perkara itu dipersetujui oleh semua parti gabungan PH. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN