LONDON 3 Dis. – Jordan Pickford memohon maaf kepada semua selepas kesilapannya pada penghujung aksi Merseyside Derby, awal pagi tadi membolehkan Liverpool menang 1-0.
Penjaga gawang England itu juga berjanji bahawa kesilapan itu tidak akan berulang lagi dan sama sekali tidak akan menjejaskan masa depannya bersama skuad itu.
Dalam perlawanan itu, Everton dilihat sudah menampilkan aksi cemerlang namun Liverpool dihadiahkan sepakan bebas pada minit ke-96.
Alisson menolak bola itu kepada Trent Alexander-Arnold sebelum dihantar kepada Virgil van Dijk yang kemudiannya melakukan hantaran jauh yang dilihat menuju ke arah luar padang.
Bagaimanapun, Pickford bertindak menepis bola itu ke arah palang gol dan bola itu jatuh ke arah Divock Origi yang kemudiannya menanduk masuk ke dalam gawang yang kosong, sekali gus memberikan kemenangan kepada The Reds.
“Ini adalah kesilapan saya, memang menakutkan. Saya fikir bola itu terkena palang dua kali, saya cuba untuk menepis keluar tetapi ia menghala ke kawasan permainan dan ketika saya cuba untuk lakukannya sekali lagi. Saya dapat rasakan bola itu.
“Memang tidak bernasib baik tetapi saya cukup kuat dari segi mental dan saya akan bersedia untuk aksi Rabu ini.-AGENSI










